sumbangan sastera Dalam Pendidikan
oleh kerana esok adalah paper berkaitan dengan kesusasteraan, harap-harap topik ne akan kluar....
Pendidikan merupakan satu proses pemerolehan dan pemindahan pengetahuan, nilai
murni dan kemahiran yang berlangsung secara berterusan dalam diri seseorang,
semenjak kecil sehinggalah ke akhir hayat (life long learning). Ia merupakan
satu proses dengan kaedah-kaedah yang tertentu sehingga seseorang memperolehi
pengetahuan, pemahaman, tingkah laku dan amalan yang sesuai dengan keperluan
serta kehendak golongan yang melaksanakan pendidikan. Encyclopedia mentakrif
pendidikan sebagai 'to draw out', facilitating realization of self-potential
and latent talents of an individual. It is an application of pedagogy, a body
of theoretical and applied research relating to teaching and learning and draws
on many disciplines. Ini bermakna, pembangunan modal insan menekankan tentang
pentingnya membentuk manusia yang sedia ada kepada yang lebih sempurna, lebih
baik, dan memiliki ciri-ciri keinsanan atau kemanusiaan...” Istilah
‘pembangunan’ boleh difahami dari pelbagai perspektif, tapi maksudnya sama;
untuk memberi kesejahteraan kepada kehidupan manusia. Pembangunan tidak
semata-mata dilihat dari sudut ekonomi atau sains dan teknologi, tapi perlu
juga dilihat dari segi budaya, cara hidup dan sebagainya. ‘Modal insan’ (human
capital) pula adalah merujuk kepada soal-soal keprofesionalan pengurusan sumber
manusia, atau a way of defining and categorizing peoples skills and abilities
as used in employement and as they otherwise contribute to the company
Untuk memahami tentang peranan sistem pendidikan di Malaysia, boleh dirujuk
kepada Falsafah Pendidikan Negara (FPN) yang menjadi teras dan tunjang bagi
semua aktiviti dan program pendidikan. Pernyataan peranan atau matlamat sistem
pendidikan tersebut adalah meliputi semua tahap; rendah, menengah dan tinggi.
Hal tersebut telah diungkapkan secara jelas dalam pernyataan yang berbunyi:
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha yang berterusan ke arah
memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk
mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi
dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini
adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan,
berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai
kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran
keluarga, masyarakat dan Negara.
(Huraian Sukatan Pelajaran,1988:V)
Pernyataan di atas jelas menggariskan objektif yang ingin dicapai oleh sistem
pendidikan negara. Dari segi sahsiah, pendidikan bertujuan melahirkan individu
yang seimbang pada domanin kognitif, afektif, dan psikomotor atau unsur
intelek, rohani, emosi dan jasmani. Di samping itu, pendidikan juga bermatlamat
untuk melahirkan rakyat negara ini yang dilengkapi dengan ciri-ciri berkualiti
sebagai insan, iaitu insan yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak
mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta
berupaya pula memberi sumbangan kepada keluarga, masyarakat dan negara. FPN ini
merupakan asas pelaksanaan sistem pendidikan di Malaysia, yang turut
menggariskan kaedah yang berterusan, menyeluruh dan bersepadu. Hal ini
menunjukkan bahawa pembinaan individu yang dihajati perlulah berlaku secara
terus menerus dan tanpa putus, di samping berlaku secara menyeluruh, merentasi
dan berpadu tanpa pemisahan dengan kurikulum lain.
Kepentingan soal pembinaan dan pembangunan modal insan ini juga telah
ditegaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi melalui
pembentangan Rancangan Malaysia Ke 9 (RMK-9) yang mensasarkan pembangunan modal
insan sebagai teras utama pembangunan negara, khususnya dalam mencapai impian
Wawasan 2020. Dalam konteks tersebut, fokus diberikan kepada tiga strategi
utama untuk melahirkan modal insan kelas pertama, iaitu meningkatkan keupayaan
dan penguasaan ilmu, mengukuhkan keupayaan sains; penyelidikan dan pembangunan
(R&D) serta inovasi; dan memupuk masyarakat berbudaya serta memiliki kekuatan
moral. Walau bagaimanapun, perbincangan tugasan ini akan memberi perhatian
khusus terhadap fungsi atau peranan sistem pendidikan negara dalam mengesahkan
pembanguanan modal insan dalam konteks Malaysia. Bukti-bukti yang dikemukakan
dan dibincangkan di sini adalah berdasarkan pengalaman dan penelitian,
khususnya daripada perspektif kurikulum kesusasteraan Melayu.
Peranan pendidikan khususnya berdasarkan contoh-contoh pengajaran dan
pembelajaran kurikulum kesusasteraan Melayu, adalah jelas mengarah kepada
matlamat atau objektif yang digariskan oleh FPN. F.R. Leavis seorang sarjana
sastera di Universiti Cambridge (1937-1962) dalam bukunya Education and the
Univesity (1971) menegaskan bahawa pengajian kesusasteraan sepatutnya menjadi
inti pengajian kepada semua pengetahuan yang diajar di universiti, dengan
alasan bahawa ianya penting untuk meninggikan peradaban bangsa daripada
pengajian kejuruan atau vokesional. Kepentingan yang sama turut ditegaskan oleh
Probst (1987) dengan menyatakan, Literature provides us not knowledge
ready-made but the opportunity to make knowledge. And it is knowledge not about
things – those it leaves to scientists and engineers – but about relationships
and values and purpose. It is the kind of knomledge that each individual is
responsible for. Pernyataan ini menekankan tentang peluang-peluang untuk
mendapatkan pengetahuan, tentang hubungan dan nilai serta tujuannya yang
menjadi keperluan bagi setiap individu. Di Amerika Syarikat misalnya,
pendidikan kesusasteraan dimasukkan ke dalam kurikulum sekolah sejak kurun ke
18 dengan tertubuhnya Franklin’s Philadelphia Academy (1751) dengan asas “..the
consideration of literature as a source of vicarious experience which could be
used to aid student in better character and better social judgement.” Sehingga
ke hari ini ilmu-ilmu sastera masih terus diajar di Barat, termasuk di
Universiti Harvard.
Di Malaysia, reka bentuk kurikulum pendidikan kesusasteraan yang telah diajar
di peringkat sekolah kini diimplimentasi secara wajib melalui KomSas (Komponan
Sastera) dalam subjek Bahasa Melayu. Melalui Komsas, semua pelajar tingkatan
satu hingga tingkatan lima tanpa mengira aliran pengajian atau etnik akan
menerima pendidikan kesusasteraan kerana Bahasa Melayu merupakan subjek wajib.
Langkah yang diambil oleh pihak kerajaan ini kerana berkeyakinan bahawa ilmu
kesusasteraan dapat menyumbang ke arah pembangunan manusia dari sudut
spiritual. Sementara di peringkat pengajian tinggi, pendidikan kesusasteraan
diajar dalam program-program pengajian di beberapa buah universiti utama di
negara ini, termasuk di Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia,
Universiti Sains Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan
Universiti Putera Malaysia. Bentuk kurikulum yang digubal di peringkat sekolah
dan pengajian tinggi, sebahagian besar adalah mengarah kepada pencapaian
matlamat dalam FPN, iaitu bagi mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis
dalam pelbagai aspek, meliputi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Unsur intelek merupakan satu unsur utama dalam sesebuah karya sastera yang
menjadikan ia bukan hanya sebagai bahan hiburan semata-mata, tetapi lebih
penting bahan untuk pembaca mendapatkan ilmu pengetahuan. Fikiran dan pemikiran
yang ditimbulkan misalnya, adalah mengenai soal-soal moral, masyarakat,
ekonomi, politik dan lain-lain menjadi bahan teladan kepada pelajar. Melalui
proses pengajaran dan pembelajaran subjek ini, pelajar didedahkan kepada
usaha-usaha untuk mendapat, meningkat dan menyebarkan ilmu, berfikiran kritis
dan kreatif dalam mengembangkan daya pemikiran. Mereka juga dilatih untuk mampu
menghurai, mencerakin, menaakul, merumus dan menghasilkan idea-idea yang
bernas, serta berupaya pula memanfaatkan ilmu untuk diri, orang lain dan alam
sekitar. Penghayatan teks-teks kesusasteraan seperti novel, cerpen dan puisi
melalui teknik-teknik simulasi, sumbang saran, main peranan, lakonan, soal
jawab dan perbincangan dalam kelas mendorong pelajar terus berfikir bagi
mencari jawaban kepadan setiap permasalahan, dapat memupuk dan melahirkan
pelajar yang berfikiran kritis, kreatif dan mampu mengembangkan daya pemikiran.
Hal ini selaras dengan matlamat FPN yang berhasrat mewujudkan insan yang
seimbang dan harmonis, termasuk dalam aspek intelek.
Karya-karya kesusasteraan Melayu juga memberi penekanan kepada ciri-ciri rohani
yang akan melahirkan insan yang menyedari dan menginsafi adanya Tuhan,
menyedari dan mensyukuri pemberian Tuhan, menyedari serta prihatin tentang
tanggungjawab, memupuk dan membina disiplin diri, membentuk akhlak mulia dan
memiliki jiwa yang tenteram dan tenang. Hal ini penting bagi memastikan bahawa
insan yang dilahirkan bukan hanya berjaya dari segi pencapaian akademik atau
material, tetapi disertai dengan kualiti kerohanian. Penerapan nilai-nilai ini
dilakukan melalui teks-teks kesusasteraan yang bersifat kerohanian seperti
novel Imam oleh SN Abdullah Husein atau puisi-puisi kerohanian oleh penyair
Amir Hamzah dan Kemala. Melalui penampilan watak dan perwatakan contoh yang
mementingkan sahsiah diri dan sifat-sifat kerohanian, karya-karya seperti ini
mengajak pembaca untuk sentiasa mementingkan soal tanggugjawab dan disiplin
diri dalam apa juga keadaan, di samping sentiasa mengamalkan akhlak mulia.
Pendidikan yang menerapkan nilai-nilai sebegini jelas berupaya melahir dan
membangunkan modal insan yang baik untuk negara.
Salah satu unsur yang melandasi penciptaan karya kesusasteraan ialah unsur
emosi yang membezakan antara karya sastera dengan karya bukan sastera. Emosi
yang dimanifestasikan melalui watak dan perwatakan dalam sesebuah karya
sastera, dapat dimanfaatkan ke arahmemiliki tingkah laku yang terkawal dan
berperasaan tenang, memiliki dan memupuk perasaan kasih sayang, memiliki
semangat kekitaan dan perpaduan serta menghargai dan menilai keindahan. Dengan
menghayati dan menerapkan nilai-nilai tersebut di kalangan pelajar, akan dapat
memupuk semangat kasih sayang dan rasa kekitaan sesama manusia, seterusnya
dapat melahirkan masyarakat penyayang yang disasarkan oleh pihak kerajaan.
Eleman-eleman mulia seperti ini bukan sahaja digalakkan dalam amalan semua
agama, malah ia perlu ditekankan dalam konteks perhubungan sosial, khususnya
bagi melahirkan kelompok masyarakat Malaysia (berbagai bangsa dan agama) yang
diikat oleh rasa kekitaan dan perpaduan. Aspek ini juga merupakan sebahagian
daripada ciri modal insan yang ingin dibangunkan dalam negara sistem pendidikan
negara yang dimanifestasikan melalui FPN.
Seterusnya ialah penekanan terhadap keseimbangan dari segi jasmani atau
fizikal. Ini dapat dikaitkan dengan domain psikomotor yang menekankan aspek
bakat dan kemahiran teknikal, manipulatif dan sosial, memanfaatkan kemahiran
dan kecergasan fizikal untuk berdikari serta menggunakan kemahiran dan
kecerdasan fizikal bagi kepentingan masyarakat. Dalam kurikulum kesusasteraan,
aspek ini dapat direalisasikan melalui pelbagai kaedah pengajaran dan
pembelajaran kesusasteraan, seperti melalui teknik simulasi, lakonan semula,
deklamasi puisi dan seumpamanya yang mendorong pelajar mengasah dan memupuk
bakat serta kemahiran berkomunikasi dan berkerjasama dengan rakan-rakan, di
samping mendorong kepada penampilan diri secara fizikal.
Berdasarkan kewujudan ciri-ciri keseimbangan tersebut melalui pengajaran dan
pembelajaran kurikulum kesusasteraan Melayu, menunjukkan bagaimana peranan
sistem pendidikan dapat melahir, memupuk dan menjana pembangunan modal insan
dalam negara. Sekaligus ianya dapat memenuhi matlamat untuk mewujudkan
masyarakat yang seimbang dan harmonis dalam empat komponen yang disasarkan oleh
sistem pendidikan negara. Pada masa yang sama, dapat melahirkan rakyat Malaysia
yang berkualiti, iaitu yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak
mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta
memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan
negara.
Masyarakat berilmu pengetahuan yang dihasratkan oleh sistem pendidikan adalah
masyarakat yang mencintai ilmu pengetahuan, sentiasa berusaha untuk menambah
ilmu pengetahuan, memanfaatkan ilmu untuk kebajikan diri, orang lain dan
kebaikan alam sekitar serta mempunyai fikiran yang luas dan terbuka. Ciri-ciri
intelektual menjadi satu teras dalam penulisan kesusasteraan, sehingga karya
kesusasteraan itu sendiri dilihat sebagai lambang tamadun sesuatu bangsa.
Melalui teks Sejarah Melayu misalnya, mendedahkan pelajar kepada tradisi
keintelektualan dan ketamadunan bangsa pada zaman silam yang boleh dipelajari
dan dimanfaatkan sehingga ke hari ini. Banyak teladan dan iktibar daripada teks
tersebut yang boleh dijadikan landasan untuk kebaikan diri, bangsa dan negara
seluruhnya.
Melalui pelagai kaedah dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran subjek ini juga
dapat membentuk keterampilan diri pelajar, iaitu dengan memiliki pengetahuan,
kelayakan dan kemahiran dalam menjalankan sesuatu tugas, berkebolehan
melaksanakan tugas dengan cekap dan sempurna, berpandangan jauh dan
berinisiatif. Pada masa yang sama, melalui penerapan nilai-nilai murni dalam
teks kesusasteraan dapat melahirkan pelajar yang berakhlak mulia, iaitu yang
mempunyai pengetahuan dan keyakinan terhadap nilai murni, mempunyai kesedaran
terhadap kesan daripada perbuatan baik dan buruk, mengamal perlakuan yang baik,
menghayati nilai-nilai mulia merangkumi nilai-nilai kerohanian, kemanusiaan dan
kewarganegaraan. Begitu juga dalam memupuk rasa bertanggungjawab di kalangan
pelajar. Mereka diajar untuk menyedari bahawa setiap tugas dan tanggungjawab
merupakan amanah dan dilaksanakan dengan sempurna, menjalankan tugas dengan
amanah, bersih dan cekap, sentiasa berusaha untuk meningkatkan daya
pengeluaran, memahami peraturan dan undang-undang negara, serta berusaha
memajukan diri, keluarga, masyarakat, agama, bangsa dan negara.
Seterusnya adalah untuk melahirkan individu yang berupaya mencapai
kesejahteraan diri, iaitu dengan mempunyai fikiran yang waras, jiwa yang tenang
dan badan yang sihat, mempunyai daya ketahanan diri yang kuat untuk menghadapi
cabaran hidup serta sentiasa dapat mewujudkan perhubungan yang baik dengan
orang lain. Pemupukan nilai-nilai ini dilakukan melalui penghayatan terhadap
watak dan perwatakan dalam karya cenderung ke arah memanfaatkan nilai-nilai
tersebut. Dengan menampilkan watak role model tertentu, pelajar dibimbing
supaya turut memiliki nilai-nilai tersebut.
Matlamat terakhir yang termaktub dalam sistem pendidikan negara ialah untuk
membina insan yang berupaya memberi sumbangan terhadap keharmonian dan
kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. Melalui contoh-contoh perbincangan
di atas, secara tidak langsung telah mengarah kepada pencapaian objektif FPN
yang telah digariskan oleh dasar pendidikan negara. Pada keseluruhannya, proses
pengajaran dan pembelajaran subjek kesusasteraan baik di sekolah, mahu pun di
pusat pengajian tinggi adalah sebagai sebahagian daripada usaha ke arah
merealisasikan matlamat sistem pendidikan negara. Sama ada secara tersurat atau
tersirat, teks-teks kesusasteraan sentiasa memupuk perpaduan rakyat melalui
kerjasama, toleransi, kekitaan dan hormat menghormati, berusaha memajukan
ekonomi ke arah perkembangan bangsa dan negara, sentiasa berusaha mengekalkan
kestabilan negara, sentiasa berusaha mematuhi dan mempertahankan peraturan dan
perlembagaan, sanggup mempertahankan diri, agama, bangsa dan negara serta
sentiasa mengamal dan menghayati prinsip-prinsip rukun negara. Justeru itu,
semua prinsip tersebut haruslah terkandung dalam karya-karya kesusasteraan yang
dipilih sebagai teks pilihan atau teks wajib bagi tujuan pengajaran dan
pembelajaran kursus ini, sama ada di peringkat sekolah atau universiti.
Peranan sistem pendidikan bukan untuk mengadakan perubahan negara sahaja,
tetapi juga mengesahkan pembangunan modal insan dalam negara. Justeru,
pendidikan kesusasteraan adalah sebahagian daripada platform yang tepat, yang
boleh dimanfaatkan untuk mencapai matlamat tersebut. Melalui perbincangan
tentang matlamat sistem pendidikan negara, khususnya berdasarkan contoh
pengajaran dan pembelajaran dalam kurikulum kesusasteraan, menunjukkan
bagaimana caranya matlamat tersebut boleh dicapai. Penekanan kurikulum
kesusasteraan itu sendiri adalah untuk melahir dan membina modal insan yang
seimbang dan harmonis serta dilengkapi dengan ciri-ciri kualiti sebagai insan
sudah tentu menjadikan matlamt sistem pendidikan negara lebih mudah untuk
direalisasikan. Hal ini menunjukkan bahawa peranan sistem pendidikan bukan
sahaja untuk melakukan perubahan atau pembangunan fizikal, tetapi yang lebih
penting adalah membangunkan modal insan yang merupakan aset utama kepada
negara. Hasrat tersebut sudah tentu boleh direalisasikan melalui pengajaran dan
pembelajaran subjek kesusasteraan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan